Read Time:1 Minute, 10 Second
LABUAN: Sebanyak 32 tong Gas Petroleum Cecair (GPC) bernilai RM4,399.80 dirampas dalam serbuan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan di sebuah premis tidak berdaftar di sini.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa hasil pemantauan serta maklumat risikan Unit Perisikan KPDN Labuan terhadap lokasi berkenaan, yang disyaki terlibat dalam aktiviti transaksi GPC secara mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 32 tong GPC disimpan tanpa kebenaran, dan pemilik premis gagal mengemukakan lesen, permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan serta penyimpanan barang kawalan berjadual tersebut.
“Susulan penemuan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan menyita kesemua 32 tong GPC bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4,399.80.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan di bawah akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin
Beliau berkata, pihaknya menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan urus niaga melibatkan barang kawalan berjadual, terutamanya barangan bersubsidi, mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang dan syarat pelesenan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap pihak yang melanggar perundangan,” katanya.







