Read Time:1 Minute, 10 Second
KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah disindir menggunakan perkataan ‘getek’.
Menurut peguam Rizwandean M Borhan, saksi ke-59 berkata kejadian itu berlaku pertengahan bulan Mei tahun lalu ketika mereka melalui bilik kelas akademik pelajar senior.
Rizwandean menjelaskan pada masa itu, saksi ingin naik ke blok akademik dan meminta Zara menemaninya. Pada mulanya, Zara berkata dia tidak berani menemaninya, tetapi akhirnya bersetuju.
Semasa mereka melalui kelas senior, terdengar seorang senior berkata ‘getek’.
“Apabila mendengar perkataan ‘getek’ itu, Zara memberitahu saksi ‘Nah, itulah aku bilang.’ Saksi berkata itulah sebabnya Zara pada mulanya memang berasa takut untuk menemaninya,” katanya kepada media.
Rizwandean berkata saksi itu turut memberitahu bahawa Zara pernah difitnah oleh senior, yang mendakwa dia bercakap tentang mereka di belakang, tetapi sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh Zara.
Beliau berkata saksi juga memberi keterangan bahawa Zara telah dimarah dan diteriak oleh senior pada malam kejadian sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Saksi mata menyatakan kata-kata seperti “bodoh” dan “sial” digunakan, dan suara marah itu boleh didengar hingga ke tingkat bawah asrama.
“Semasa senior itu mula-mula masuk ke bilik asrama untuk soal siasat Zara, dia telah melemparkan pin bendera Malaysia ke arah Zara… Senior itu juga memarahi Zara dan menanya sama ada dia telah mengambil pin bendera.
“Menurut saksi, Zara turut disoal sama ada dia mengambil dompet seorang rakan, namun dia bersumpah, ‘Wallahi, saya tidak ambil,’” katanya.






