Read Time:3 Minute, 4 Second
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menarik balik rayuan dan melaksanakan segera pembayaran hak 40 peratus Sabah.
Madius menegaskan bahawa hak 40 peratus itu bukan tuntutan baharu, bukan ihsan, dan bukan isu politik, sebaliknya kewajipan perlembagaan yang jelas termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hak ini pernah ditunaikan dari tahun 1965 hingga 1975, namun selepas itu dinafikan tanpa penjelasan, malah kewujudannya dipersoalkan. Ini suatu keadaan yang amat menyedihkan dalam sebuah negara yang menjunjung Perlembagaan,” katanya dalam ucapan perbahasan Sidang Parlimen pada 22 Januari.
Madius berkata titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sangat jelas dan tegas, khususnya peringatan supaya semua dokumen, perjanjian dan persetujuan yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia hendaklah dihormati, dilaksanakan dan dipatuhi sepenuhnya, bukan sekadar disebut, bukan sekadar dirujuk, tetapi benar-benar ditunaikan.
Menurut Madius, selepas lebih 63 tahun pembentukan Malaysia, kegagalan melaksanakan perkara yang telah lama dipersetujui mencerminkan satu kekecewaan mendalam, khususnya bagi Sabah yang masih berdepan isu asas pembangunan.
“Dalam konteks Sabah, isu paling asas, paling lama tertangguh dan paling menyakitkan ialah hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dipungut dari Sabah sehingga Sabah Law Society (SLS) terpaksa mengambil langkah luar biasa memfailkan semakan kehakiman demi menuntut hak Perlembagaan Sabah,” katanya.
Madius merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 yang memutuskan bahawa bahawa hak Perlembagaan ini wujud, sah dan mengikat, serta pembayaran 40 peratus adalah kewajipan perlembagaan Kerajaan Persekutuan.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus supaya rundingan dimulakan dalam tempoh 90 hari bermula 17 Oktober 2025, dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya 15 April 2026.
“Sehingga hari ini, iaitu 96 hari selepas perintah mahkamah, perkembangan amat perlahan. Masa yang tinggal hanyalah 84 hari. Ini bukan masa untuk melengah-lengahkan, ini masa untuk kesungguhan dan keberanian politik,” katanya sambil mempersoalkan kelewatan pelaksanaan keputusan tersebut, termasuk penangguhan mesyuarat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada saat akhir pada 19 Disember 2025.
Madius turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi, yang menurutnya menghantar mesej bercanggah.
“Mengiktiraf hak tetapi merayu keputusannya adalah satu mesej yang sangat bercanggah. Dari segi substans dan merit, rayuan ini kelihatan seperti cubaan untuk mempersoalkan semula hak Perlembagaan Sabah,” tegasnya sambil mendesak supaya rayuan tersebut ditarik balik.
Madius menegaskan bahawa kegagalan mematuhi perintah mahkamah bukan perkara remeh kerana ia menyentuh maruah institusi kehakiman dan keyakinan rakyat terhadap negara.
“Meneruskan rayuan hanya akan memanjangkan ketidaktentuan dan menghakis kepercayaan rakyat Sabah. Menggugurkan rayuan bukan kelemahan, ia adalah keberanian politik dan penghormatan kepada Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menggariskan prinsip asas hak 40 peratus, antaranya ia tidak boleh digantikan dengan perbelanjaan pembangunan, data hasil mesti telus dan boleh diaudit, serta sebarang hak tertunggak tidak boleh dilepaskan tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Mengaitkan isu tersebut dengan jurang pembangunan wilayah, Madius berkata Sabah masih berdepan masalah serius termasuk jalan luar bandar yang daif, gangguan bekalan air dan elektrik, lebih 300 sekolah daif serta kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia iaitu 17.7 peratus, dengan lapan daripada 10 daerah termiskin berada di Sabah.
Di kawasan Parlimen Tuaran sendiri, katanya, masalah bekalan air bersih, keadaan jalan raya yang rosak, bangunan sekolah tidak selamat serta banjir berulang di Sungai Tuaran dan Tamparuli bukan lagi aduan terpencil, tetapi realiti harian rakyat.
Beliau menegaskan bahawa situasi ini bukan berpunca daripada kegagalan rakyat Sabah, sebaliknya kesan model pembangunan yang terlalu berpusat di Putrajaya, dan menggesa pelaksanaan model pembangunan desentralisasi yang memberi peranan lebih besar kepada kerajaan wilayah.
“Atas prinsip itulah hak 40 peratus ini adalah asas kewangan yang penting untuk membolehkan Sabah membangun dengan lebih tersusun, terancang, adil dan bermaruah.
“Keadilan tidak pernah melemahkan negara. Ketidakadilanlah yang memecahkan kepercayaan,” katanya.






