Read Time:2 Minute, 2 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sambungan grid Sarawak–Sabah kini beroperasi secara rasmi, menandakan fasa baharu integrasi tenaga di Borneo dengan memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik serta menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan pembangunan sosioekonomi kedua-dua negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengoperasian sambungan berkenaan mencerminkan usaha berterusan membangunkan sistem tenaga yang selamat, fleksibel dan berdaya tahan bagi rantau Borneo.
“Dengan menghubungkan grid Sarawak dan Sabah, kita mewujudkan fleksibiliti operasi yang lebih kukuh serta menyokong pembangunan jangka panjang kedua-dua negeri.
“Sambungan ini menunjukkan bagaimana perancangan bersepadu mampu memberikan manfaat praktikal kepada Borneo,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Energisation of the Sarawak–Sabah Power Grid Interconnection Project di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah menyokong sepenuhnya inisiatif tersebut kerana ia mengukuhkan kebolehpercayaan dan keselamatan bekalan kuasa negeri.
“Sambungan grid Sarawak–Sabah merupakan langkah strategik ke arah memastikan keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong pembangunan mampan serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi Sabah,” katanya.
Sambungan itu didayakan melalui talian penghantaran 275kV Lawas–Mengalong dan merupakan sebahagian daripada peluasan grid sepanjang 326 kilometer melibatkan 881 menara penghantaran serta infrastruktur berkaitan. Ia menyusuli pentauliahan talian 275kV Bunut–Medamit–Lawas dan Pencawang Lawas pada November 2025.
Pertukaran tenaga elektrik antara Sarawak dan Sabah bermula pada 13 Disember 2025 selepas penyelarasan sistem berjaya dilaksanakan oleh operator grid kedua-dua negeri. Ketika ini, tenaga elektrik disalurkan dari Sarawak ke Sabah berdasarkan keperluan operasi dan parameter teknikal yang dipersetujui, dengan potensi aliran kuasa dua hala pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, sambungan Sarawak–Sabah dibina berasaskan pengalaman pertukaran kuasa serantau, termasuk sambungan Sarawak–Kalimantan Barat yang ditauliahkan pada 2016.
“Sambungan ini menggerakkan konsep Grid Borneo daripada visi kepada pelaksanaan, di samping menyumbang kepada aspirasi Malaysia di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, sambungan tersebut membolehkan perkongsian sumber penjanaan secara lebih cekap, meningkatkan kestabilan grid serta memperkukuh daya tahan sistem kuasa, khususnya ketika permintaan puncak atau gangguan bekalan.
“Pada masa ini, sambungan tersebut membekalkan sehingga 50 megawatt (MW) dari Sarawak ke Sabah, dengan kapasiti untuk ditingkatkan bergantung kepada kesiapsiagaan sistem dan perancangan masa hadapan,” katanya.
Sambungan Grid Sarawak–Sabah merupakan rangkaian serantau kedua di Borneo selepas sambungan Sarawak–Kalimantan Barat, sekali gus menjadi asas penting ke arah pembentukan grid kuasa serantau yang lebih bersepadu dan mampan.






