KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan perobohan ke atas struktur tambahan yang dibina secara tidak sah di kawasan rizab jalan di Jalan Lintas, Kolombong, pada 12 Januari lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak tiga notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terlibat sebelum perobohan dilaksanakan.
Bagaimanapun, pemilik terlibat didapati gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.
Menurut DBKK, operasi yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang melibatkan kerjasama bersepadu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE) serta jabatan-jabatan dibawah DBKK.

“Kerja-kerja perobohan ini berjalan dengan lancar dan struktur yang dibina di atas kawasan rizab jalan telah berjaya dirobohkan dan dialihkan sepenuhnya.
“Satu laporan polis bagi tujuan rekod dan rujukan DBKK,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut DBKK, tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pembangunan atau pencerobohan yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kawasan rizab awam, demi menjaga keselamatan, ketenteraman dan kepentingan orang awam. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK






