KENINGAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar daerah Keningau, pada 21 Januari lalu.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan itu dibuat hasil aduan awam serta risikan yang dijalankan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi berasingan.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 15 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Keningau, dengan pemeriksaan dilakukan ke atas 22 individu sebelum 15 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen.
“Kesemua individu yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM Sabah akan terus melaksanakan tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, kerana perbuatan tersebut menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan berterusan.







