Read Time:1 Minute, 8 Second
LAHAD DATU: Seorang penumpang maut manakala pemandu cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang dan terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi Jumaat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dinaiki dua orang mangsa lelaki didapati terjatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) berukuran kira-kira 6.5 meter lebar yang sedang dalam pembinaan.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung. Bagaimanapun, penumpang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian, manakala pemandu mengalami kecederaan patah tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Muhammad Almadi Hassan, manakala pemandu yang cedera ialah Wilyamil Ahajul, 34 tahun, dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, manakala operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi selepas kawasan kejadian dipastikan selamat.






