Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Komando VAT69 lemas semasa latihan menyelam di Pulau Mataking

Read Time:1 Minute, 36 Second

SEMPORNA: Seorang pegawai kanan Pasukan 69 Komando (VAT69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pos Gabungan PDRM-ATM Pulau Mataking, di sini, pagi Khamis.

Difahamkan mangsa, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, 40-an, tidak sedarkan diri semasa latihan menyelam yang dijalankan oleh Pasukan Charlie VAT69 di perairan Pulau Mataking.

Menurut laporan awal, pasukan terbabit tiba dan melapor diri di Jeti Pas Platun Tak Mataking kira-kira jam 8 pagi sebelum membuat persiapan peralatan menyelam. Latihan bermula sekitar jam 9.15 pagi selepas pemakluman rasmi dibuat di pos berkenaan.

Bagaimanapun, kira-kira jam 10.25 pagi, Ketua Platun Tak Mataking menerima makluman kecemasan daripada pihak Reef Dive Resort bahawa seorang pegawai VAT69 tidak sedarkan diri semasa latihan menyelam.

Difahamkan, bantuan pertolongan cemas termasuk CPR telah diberikan oleh kakitangan resort bersama anggota Pasukan Charlie VAT69 di jeti resort berkenaan.

Mangsa kemudiannya dibawa menaiki bot ke Hospital Semporna kira-kira jam 10.45 pagi untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia.

Allahyarham merupakan Terup Komander 9, Skuadron C 69 Komando dan berkhidmat sebagai pegawai kanan dalam pasukan elit PDRM.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di laman Facebook rasminya merakamkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.

“Saya amat sedih menerima satu lagi berita kehilangan anggota PDRM hari ini dan kali ini adalah insiden semasa latihan menyelam di Pos Gabungan PDRM-ATM Pulau Mataking, Semporna, Sabah.

“Saya dimaklumkan bahawa pegawai kanan dari VAT69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairul Azhar bin Kamaruddin telah terkorban semasa menjalani latihan tersebut dan sesungguhnya kehilangan beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada seluruh pasukan PDRM dan warga Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman.

“Saya turut mendoakan agar Allah SWT menganugerahkan pahala atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada negara,” katanya.

LEAVE A RESPONSE