Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dua premis gagal pamer harga dikompaun – KPDN Labuan

Read Time:1 Minute, 9 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mengeluarkan dua notis kompaun terhadap dua premis perniagaan luar bandar dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sini.

Pengarah KPDN WP Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan pematuhan mendapati seorang pengusaha restoran dan seorang peniaga runcit gagal mempamerkan tanda harga barangan seperti diwajibkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Katanya, pemeriksaan yang dilaksanakan pada Khamis itu memberi tumpuan khusus kepada premis perniagaan di kawasan luar bandar sekitar Labuan bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan perdagangan yang sedang berkuat kuasa.

“Selain pengeluaran kompaun, KPDN Labuan turut mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang di bawah Seksyen 21 Akta 723 terhadap seorang peniaga pasar mini bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan harga barangan untuk tujuan semakan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Junaidah berkata, pihaknya memandang serius aspek perlindungan dan kebajikan pengguna, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan hak pengguna.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan ke atas premis lain mendapati majoriti peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, manakala bekalan barangan kawalan di pasaran adalah mencukupi serta mudah diperoleh oleh pengguna.

” KPDN Labuan akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan, selain menjamin amalan perniagaan yang beretika dan berdaya saing,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

LEAVE A RESPONSE