Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang menayangkan kemaluannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang wanita.
Tertuduh, Mohd Zainal Abdul Momen, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zainal didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun dengan cara memegang kemaluannya sendiri di luar seluar dengan tangan bagi maksud dilihat oleh mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 September lalu jam lebih kurang 8 malam, bertempat di sebuah bangunan kedai di Plaza Alam Mesra dekat sini.
Mohd Zainal didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin tempatan, dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 November ini.
Pengawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan. – SABAH MEDIA