Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dua peniaga dikompaun, langgar peruntukan undang-undang

Read Time:1 Minute, 8 Second

LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan dua notis kompaun terhadap peniaga yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dalam satu operasi pemeriksaan pematuhan di kawasan luar bandar Labuan di sini pada Selasa.

Pengarah KPDN WP Labuan Junaidah Arbain berkata, dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 53 premis perniagaan sektor peruncitan termasuk restoran dan gerai buah-buahan telah diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang peniaga gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual dan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran serius kerana boleh mengelirukan pengguna serta menafikan hak mereka untuk mendapatkan maklumat harga yang jelas.

“Seorang lagi peniaga dikenakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71) kerana menggunakan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Junaidah berkata, KPDN WP Labuan menegaskan semua peniaga wajib mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan termasuk mempamerkan tanda harga dengan jelas serta memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan telah ditentusahkan dan masih dalam tempoh sah.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara adil dan telus, sekali gus melindungi kepentingan pengguna.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan isu kepenggunaan boleh menyalurkannya melalui Portal E-Aduan KPDN atau menghubungi Pejabat KPDN WP Labuan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

LEAVE A RESPONSE