Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRK Kinabatangan, Lamag : Pengundian berjalan lancar, 93 peratus keluar mengundi

KINABATANGAN : Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah berjalan lancar hari ini dengan kadar keluar mengundi mencecah 93 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, seramai 176 daripada 189 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, proses pengundian awal telah bermula pada jam 8 pagi di pusat pengundian awal yang dibuka di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan sebelum ditutup pada jam 5 petang tadi.

“SPR turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta seluruh pasukan petugas atas pelaksanaan tugas yang cekap dan teratur sepanjang proses pengundian berlangsung,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Khairul berkata, SPR turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama serta sokongan yang diberikan bagi memastikan kelancaran proses pengundian awal PRK berkenaan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kekosongan kerusi, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari ini. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

LEAVE A RESPONSE