Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lagi kes berulang, penagih dadah dipenjara dan disebat

Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan kerana mengulangi kesalahan mengambil syabu.

Tertuduh, Mohd Soffri Zulkifli, 35, mengaku bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Mohd Soffri mengaku bersalah selepas air kencingnya didapati positif dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 28 April tahun lalu, kira-kira 12.10 tengahari, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.

Mohd Soffri mempunyai dua sabitan lampau di Mahkamah Majistret Papar di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pertama, tertuduh dijatuhi hukuman tujuh bulan penjara dan pengawasan polis selama dua tahun pada 15 Ogos 2024. Sabitan kedua ialah denda RM2,300 pada 13 September 2024, namun gagal dibayar, menyebabkan tertuduh dipenjara tujuh bulan dan dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.

Pertuduhan kali ini dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta yang sama.

Hukuman yang diperuntukkan adalah penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun, serta hendaklah disebat tidak lebih daripada tiga sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 38B memperuntukkan bahawa selepas menjalani hukuman, tertuduh hendaklah diletakkan di bawah pengawasan pegawai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Bryan Francis, mengendalikan kes ini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A RESPONSE