Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Seminar Hapkido Kebangsaan Pertama cipta sejarah di Sabah


Read Time:1 Minute, 16 Second

PUTATAN: Sabah terus mengorak langkah dalam pembangunan sukan seni bela diri apabila 1st National Hapkido Seminar 2026 berjaya dianjurkan, sekali gus mencatat sejarah sebagai seminar Hapkido peringkat kebangsaan pertama yang diadakan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program seumpama itu selari dengan usaha kerajaan negeri melahirkan belia yang holistik melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan dan seni bela diri.

Menurutnya, seni bela diri bukan sahaja berperanan meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah mampu membentuk disiplin, sahsiah, kepimpinan serta jati diri dalam kalangan generasi muda.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Heirwan Shah Masari.

Seminar dua hari itu menghimpunkan lebih 70 peserta dari seluruh Sabah selain penyertaan hampir 10 peserta dari Negara Brunei Darussalam, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif seni bela diri Hapkido di peringkat serantau.

Program berkenaan turut disertai tenaga pengajar antarabangsa dari World Hapkido Martial Arts Federation (WHMAF), termasuk Grandmaster V Yoyok Suryadi selaku Games and Competition Director, Leonardo Kentjana yang juga Ketua Pengadil Hapkido Indonesia serta Master Pow Yin Khong, Ketua Jurulatih Hapkido Brunei Darussalam.

Kehadiran barisan jurulatih berprofil tinggi itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai standard latihan, teknik serta sistem penilaian bertaraf antarabangsa.

Seminar berkenaan dianjurkan di bawah pimpinan Master Bernardo Vivero selaku Pengerusi Penganjur merangkap WHMAF Sabah Hapkido Leader dan wakil Hapkido Malaysia di Sabah.

Pihak penganjur berharap kejayaan seminar sulung itu dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program latihan dan kejohanan Hapkido, termasuk di peringkat antarabangsa, pada masa akan datang. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE