Read Time:1 Minute, 6 Second
KOTA KINABALU : Penganjuran Kem Perhutanan Kali Ke-25 oleh Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kemahiran asas perhutanan serta membentuk keperibadian rimbawan muda yang berdaya tahan dan berilmu.
Dekan FPT, Profesor Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie berkata, penganjuran kem yang menjadi program tahunan fakulti itu merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan pelajar FPT yang memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran praktikal, semangat kepimpinan dan kerjasama berpasukan.
“Kem seperti ini penting dalam membentuk rimbawan yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga berjiwa kental dan beretika tinggi.
“Pengalaman lapangan mengajar pelajar untuk memahami cabaran sebenar dalam bidang perhutanan serta memupuk nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan kem tersebut di SFERA@UMS.
Katanya, FPT berhasrat untuk meneruskan tradisi penganjuran kem tersebut sebagai platform pembelajaran luar bilik darjah yang berimpak tinggi, dalam usaha melahirkan generasi rimbawan muda yang berwawasan.
Kem perhutanan itu lebuh unik pada edisi tahun ini melalui penglibatan 10 pelajar antarabangsa dari Universiti Brawijaya, Indonesia di bawah Program Mobiliti Inbound.
Sepanjang kem berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti lapangan seperti pengurusan perkhemahan, ikhtiar hidup dan entomologi untuk memberi pengalaman praktikal kepada pelajar.
Beberapa anugerah khas turut disampaikan pada majlis tersebut, termasuk Anugerah 10 Sifat Rimbawan, Rimbawan, dan Rimbawati, sebagai pengiktirafan kepada peserta yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang program berlangsung.