Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Sabah bawa isu gred jawatan JPNS ke KPM


Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membawa isu ketidakseimbangan struktur gred jawatan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Mesyuarat Exco Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, langkah itu penting bagi memastikan keadilan dalam laluan kerjaya serta memperkukuhkan keberkesanan pentadbiran sektor pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata, struktur perjawatan sedia ada menunjukkan jurang yang ketara apabila jawatan timbalan pengarah JPNS hanya berada pada gred 54, manakala pengarah berada pada gred Jusa B tanpa sebarang jawatan Jusa C sebagai penghubung.

Katanya, situasi tersebut bukan sahaja menimbulkan ketidakadilan dari sudut hirarki jawatan, malah memberi kesan terhadap motivasi dan semangat kerja pegawai kanan pendidikan kerana gred timbalan pengarah adalah setara dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD).

“Dari sudut tanggungjawab dan peranan, timbalan pengarah sepatutnya berada pada kedudukan lebih tinggi, namun realitinya gred mereka sama dengan PPD.

“Keadaan ini memberi kesan kepada moral pegawai dan saya sendiri pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.

James berkara, Sabah wajar diperuntukkan sekurang-kurangnya dua jawatan Jusa C di JPNS bagi mewujudkan struktur organisasi yang lebih seimbang dan berfungsi secara optimum.

Beliau turut memaklumkan isu serupa pernah berlaku ketika beliau menerajui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, membabitkan lima timbalan pengarah kesihatan negeri yang tidak mempunyai jawatan Jusa C, sekali gus menunjukkan masalah tersebut memerlukan penyelesaian menyeluruh.

“Saya ingin menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri untuk mengangkat isu perjawatan kritikal ini ke peringkat Exco Pendidikan kebangsaan demi memastikan pentadbiran pendidikan, sains dan inovasi di Sabah terus relevan dan mampan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE