Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Abidin sertai GRS sebagai ahli langsung

Read Time:1 Minute, 25 Second

RANAU : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menegaskan bahawa beliau kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menyertai gabungan itu sebagai ahli langsung.

Katanya, ia adalah demi memastikan kesinambungan khidmat dan pembangunan untuk rakyat di kawasannya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menilai pelbagai faktor termasuk kestabilan politik dan kepentingan rakyat yang perlu diutamakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Selepas meninggalkan STAR Sabah, saya tidak menyertai mana-mana parti lain di bawah GRS.

“Saya memilih untuk menjadi ahli langsung GRS kerana saya percaya dengan hala tuju dan kepimpinan gabungan ini,” katanya

Abidin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan usaha pembangunan di Paginatan tidak terjejas serta seiring dengan matlamat GRS untuk membawa kestabilan dan kemajuan berterusan di Sabah.

Katanya, keputusan itu bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk rakyat Ranau.

“Saya berharap penyokong dan kepimpinan di peringkat akar umbi memahami serta menyokong keputusan ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan politiknya sejak dahulu berteraskan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

“Saya ingin ingatkan semua bahawa politik bukan tempat mencari keuntungan peribadi.

Ketika saya mula-mula menyertai politik, ada yang mendakwa saya mahu mengumpul tanah untuk diri sendiri, tetapi itu tidak benar.

Fokus saya adalah rakyat,” katanya.

Keputusan Abidin untuk menyertai GRS sebagai ahli langsung turut menerima sokongan padu kepimpinan dan penyokong di Paginatan, yang berikrar untuk terus bersama beliau menghadapi PRN akan datang.

Terdahulu, Parti STAR Sabah bersama Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Kerajaan Negeri GRS–PH pada Khamis lalu.

Namun, lima wakil rakyat STAR termasuk Abidin, Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Robert Tawik (Bingkor) tetap menyatakan sokongan kepada GRS dan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Hajiji Noor. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE