Read Time:1 Minute, 0 Second
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing hilang dipercayai dibaham buaya ketika membaiki pukat di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, di sini, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Lahad Datu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke tempat kejadian untuk melakukan pencarian awal.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam ketika mangsa berusia 27 tahun itu dilaporkan sedang membaiki pukat di tepi sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus diaktifkan pagi tadi pada jam 9.15 pagi.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang (OH) sementara operasi pencarian diteruskan di sekitar sungai berkenaan,” katanya
Jimmy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan yang dikenal pasti berisiko dan menjadi habitat buaya demi keselamatan diri.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087 bagi membantu siasatan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO IHSAN PEMBACA