Inkues Zara Qairina diteruskan seperti biasa, mungkin disesuaikan selepas tarikh PRN diumumkan
Read Time:1 Minute, 1 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir berjalan seperti biasa walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan diadakan tidak lama lagi.
Menurut peguam Rizwandean M Borhan dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh belum ada permohonan rasmi untuk menjadualkan semula prosiding sempena PRN nanti.
“Setakat ini, inkues berjalan seperti biasa dan tiada sebarang permohonan dibuat.
“Apabila tarikh-tarikh penting PRN diumumkan, kami mungkin akan mengemukakan permohonan yang sewajarnya dengan mengambil kira kesesuaian masa,” katanya.
Rizwandean berkata ketika menjawab soalan media di perkarangan Mahkamah Majistret, petang tadi.
Mohd Syarulnizam turut mengakui bahawa beberapa pihak yang terlibat dalam inkues, termasuk barisan peguam, mungkin juga akan terbabit dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya negeri.
“Saya percaya ramai pihak yang terlibat untuk memastikan PRN berjalan dengan lancar.
“Koroner juga memaklumkan bahawa selepas tarikh-tarikh muktamad PRN diumumkan, pihak peguam boleh membuat permohonan dan perbincangan akan dibuat bagaimana dengan perjalanan prosiding inkues,” katanya.
Rizwandean dan Mohd Syarulnizam beserta barisan peguam lain iaitu Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James, mewakili ibu Zara.
Zara, pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – SABAH MEDIA