Read Time:1 Minute, 54 Second
KOTA KINABALU: Seorang penuntut kolej yang menjadi ‘keldai akaun’ dilepaskan dengan bon berkelakuan baik (BOGB) selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan juga tidak mengenakan sebarang jaminan bon terhadap remaja berusia 18 tahun itu.
Ketika memutuskan BOGB, mahkamah memaklumkan bahawa ia telah mengambil kira pelbagai aspek, termasuk hujah pihak pendakwaan, laporan sosial pesalah muda daripada Pegawai Kebajikan, serta rayuan tertuduh.
Mahkamah antara lain berkata kejadian tersebut berlaku akibat kecuaian, dan bukannya niat tertuduh untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah atau sindiket berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didapati terlibat secara tidak langsung dalam transaksi kemasukkan wang berjumlah RM15,050 menggunakan akaun bank miliknya, pada 8 Julai tahun lalu, di sebuah pejabat di Taman Industri Warisan.
Remaja terbabit didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh pada 19 Julai 2025 telah membuat laporan polis berhubung peminjaman kad ATM miliknya kepada seorang lelaki yang dikenali selama kira-kira sebulan, dikenali sebagai ‘Wan’.
Dalam laporan tersebut, tertuduh telah memberikan nombor kad pin berserta kata laluan akaun bank ATM kepada Wan pada 10 Julai 2025, dan Wan berjanji akan menyerahkan semula kad tersebut kepada tertuduh pada 13 Julai 2025. Bagaimanapun, segala usaha untuk menghubungi Wan gagal selepas tertuduh disekat oleh lelaki tersebut.
Hasil siasatan mendapati, seorang pengadu lain telah membuat pemindahan wang berjumlah RM15,050 sebagai bayaran tawaran pembekalan daripada individu bernama ‘Farhan’ ke dalam akaun bank milik tertuduh. Sehubungan itu, akaun bank tertuduh didapati terlibat secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang berkenaan tanpa maksud yang sah.
Susulan penemuan itu, tertuduh telah ditahan bagi membantu siasatan.
Semasa rayuan, tertuduh antara lain memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai ramai adik-beradik, bapanya sakit, manakala ibunya meninggal dunia tahun lalu.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut menyebabkan beliau terpaksa berhenti pengajian, selain mengakui kesalahan yang dilakukan. Beliau merayu agar diberi peluang kedua dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa hadapan serta tidak mengulangi kesilapan sama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, sambil menegaskan bahawa tertuduh mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap akaun bank miliknya sendiri.






