Read Time:1 Minute, 14 Second
TAMPARULI : Jambatan ‘Low Level Crossing’ (LLC) Tamparuli akan ditutup sementara selama dua hingga tiga bulan bagi kerja pengukuhan, susulan keadaan jambatan yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kerja pengukuhan akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi dilantik dengan menggunakan peruntukan sedia ada.
Katanya, selepas pembukaan semula, hanya kenderaan berat di bawah 5 tan dibenarkan melintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, penutupan sementara itu adalah langkah keselamatan penting bagi membolehkan kerja-kerja pengukuhan dijalankan dengan lancar dan tanpa sebarang risiko kemalangan.
“Keselamatan pengguna dan kelancaran perhubungan adalah keutamaan, dan segala perkembangan projek akan dipantau serta dibawa ke perhatian Jawatankuasa Daerah untuk tindakan susulan.
” Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan dan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Rabu.
Terdahulu, Setiausaha Politik beliau Dr. Bonaventure Boniface hadir ke jambatan berkenaan bagi meninjau keadaan Jambatan LLC.
Joachim berkata, sebuah jambatan baharu akan dibina setelah mendapat kelulusan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun lalu.
Katanya, kerja-kerja penyediaan spesifikasi dan reka bentuk jambatan sedang dijalankan, dengan tender dijangka dibuka pada Oktober 2026
” Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029, melibatkan pembinaan jambatan berkembar yang kekal dan lebih tinggi daripada jambatan sedia ada.
“Kita mencadangkan agar jambatan LLC sedia ada dikekalkan sebagai tarikan pelancongan, manakala tapak jambatan baharu dibina bersebelahan,” katanya. – SABAH MEDIA






