Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan Negeri rancang naik taraf kemudahan di Makam Tun Datu Mustapha

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

PUTATAN: Kerajaan Negeri merancang untuk terus menaik taraf kemudahan di Makam Tun Datu Mustapha Datu Harun sebagai usaha memelihara warisan tokoh kemerdekaan Sabah itu serta meningkatkan keselesaan pengunjung yang hadir berziarah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, antara penambahbaikan yang dirancang termasuk kemudahan asas, laluan pengunjung serta pusat dokumentasi dengan kerjasama Muzium Negeri Sabah dan agensi berkaitan.

“Insya-Allah tahun ini kita akan mencari kaedah terbaik untuk menaik taraf kemudahan di makam ini, termasuk berbincang dengan pihak muzium tentang apa yang perlu dimanfaatkan dan ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Haul Ke-31 Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang berlangsung di Memorial Park Tun Datu Mustapha, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Arifin, perbincangan lanjut turut diadakan bersama Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta Pembantu Menteri Hal Ehwal Islam, Datuk Isnin Aliasnih, bagi mengenal pasti keperluan dan keutamaan naik taraf seterusnya.

Mengulas mengenai kerja naik taraf yang telah dilaksanakan sebelum ini, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah membina bumbung di kawasan makam, termasuk laluan 131 anak tangga dari bawah hingga ke atas, yang kini memberi keselesaan kepada pengunjung.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata majlis haul berkenaan dianjurkan oleh MUIS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama agensi-agensi Islam bagi memperingati jasa Allahyarham Tun Datu Mustapha sebagai tokoh kemerdekaan yang ulung, pendakwah unggul serta pemerkasa pendidikan di Sabah.

Katanya, program tersebut diisi dengan bacaan Yasin dan tahlil, selain majlis sama turut diadakan pada sebelah malam di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan telah dijadikan acara rasmi kerajaan negeri sejak dua tahun lalu.

Tambah beliau, sebelum ini penganjuran majlis haul berkenaan dilaksanakan oleh alumni Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah, sebuah institusi pendidikan yang diasaskan atas ilham Allahyarham dan dinamakan sempena isteri beliau.

LEAVE A RESPONSE