Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Lima ADUN STAR kekal bersama GRS, beri sokongan penuh terhadap Hajiji

Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU :  Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah secara rasmi memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kesemua mereka juga turut menegaskan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam kenyataan bersama, kelima-lima ADUN berkenaan, Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik @ Nordin, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub, dan Datuk Flovia Ng menegaskan bahawa kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri menjadi asas kepada keputusan mereka.

“Kami akan kekal dengan pendirian untuk terus bersama GRS dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” menurut kenyataan tersebut.

Para ADUN itu turut menekankan bahawa segala keputusan berkaitan hala tuju parti perlu dibuat dengan pertimbangan menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami. 

“Kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mereka akan terus mempertahankan kerusi masing-masing atas lambang GRS sebagai tanda kesetiaan terhadap mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah.

Langkah ini dilihat sebagai penegasan semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin STAR Sabah dan komitmen mereka untuk terus bersama kerajaan pimpinan Hajiji bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri terjamin. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE