Read Time:1 Minute, 33 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan seramai empat juta pelancong tiba ke negeri ini sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, selari dengan peningkatan minat pelancong terhadap produk pelancongan semula jadi dan ekopelancongan yang dimiliki negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, sasaran itu adalah berikutan pencapaian cemerlang sektor pelancongan Sabah pada tahun lalu apabila sasaran 3.6 juta pelancong berjaya dicapai.
Beliau berkata, peningkatan sasaran kepada empat juta pelancong melibatkan domestik dan antarabangsa adalah realistik serra berasas yang mengambil kira kekuatan Sabah yang kaya dengan tarikan alam semula jadi seperti laut yang bersih, hutan hujan tropika, gunung-ganang serta destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Sabah mempunyai aset pelancongan yang lengkap dan unik.
“Keindahan alam semula jadi ini menjadi faktor utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyempurnakan sambutan ketibaan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sempena Tahun Baharu 2026 di sini pada Khamis.

Jafry berkata, beberapa lokasi utama di Sabah turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk tapak bertaraf dunia dan kawasan biosfera, sekali gus mengukuhkan lagi daya tarikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan global.
Beliau turut menegaskan aspek keselamatan pelancong akan terus diberi keutamaan, termasuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan asas bagi memastikan pengalaman pelancongan yang selamat dan selesa.
“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi melibatkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pelancong datang dan pulang dengan pengalaman yang positif,” katanya.
Terdahulu, majlis itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan bersepadu sambutan ketibaan pelawat terawal yang diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri, termasuk lapangan terbang antarabangsa, terminal feri dan hab pengangkutan darat utama.
Bagi Sabah, lima lokasi utama dipilih sebagai tempat penganjuran, iaitu KKIA, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Lahad Datu dan Terminal Feri Tawau. – SABAH MEDIA






