KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat sebuah rumah di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat renjatan elektrik semasa melakukan kerja mengecat.
“Mangsa didapati mengalami kesan terbakar serta putus pergelangan tangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi melibatkan seramai 10 anggota BBP Lintas turut dibantu agensi lain termasuk Sabah Electricity, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seterusnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain.






