Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

MCMC Siasat Hantaran Palsu, Individu Dipanggil Bantu Siasatan

Read Time:1 Minute, 2 Second

Cyberjaya,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah membuka kertas siasatan susulan penularan satu hantaran palsu di media sosial yang menyalahgunakan identiti visual Buletin TV3.

Hantaran berkenaan mendakwa kononnya Menteri Komunikasi mengeluarkan kenyataan mengenai penutupan aplikasi TikTok di Malaysia. MCMC, bagaimanapun, menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh menteri, dan hasil semakan awal mendapati kandungan itu telah diubah suai serta disahkan palsu.

Media Prima Berhad turut membuat laporan polis dan mengeluarkan penafian rasmi, menjelaskan bahawa penggunaan logo, nama serta reka bentuk Buletin TV3 dalam hantaran itu merupakan satu bentuk penyalahgunaan yang disengajakan untuk mengelirukan orang ramai.

Bagi membantu siasatan, seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil memberi keterangan, dan proses rakaman kenyataan telah dilaksanakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.

Untuk tujuan analisis forensik digital, pihak berkuasa turut menyita satu (1) unit telefon bimbit dan satu (1) kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, bagi mengelakkan penyebaran kandungan palsu yang boleh membawa implikasi undang-undang.

LEAVE A RESPONSE