SOOK: Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur selepas sebuah rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Sungai Batu Lunguyan, Sook, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.54 malam itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 9.30 malam selepas menempuh jarak sejauh 31 kilometer dari balai.
Kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 50 kaki persegi yang terbakar 100 peratus. Turut musnah dalam kejadian itu ialah sebuah kereta Perodua Kancil dan dua buah motosikal jenis Honda yang turut terbakar sepenuhnya.
Operasi pemadaman diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Sualiman Sipil bersama enam anggota BBP Sook, dengan bantuan satu aliran sepanjang 200 kaki menggunakan dua pancutan air daripada jentera bomba.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.45 malam sebelum memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Dalam insiden tersebut, seorang mangsa lelaki berusia 46 tahun yang juga pemilik rumah mengalami kecederaan melecur di bahagian bahu dan telah dihantar ke Klinik Tulid Sook oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Turut membantu di lokasi kejadian ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua kakitangan Sabah Electricity bagi tujuan keselamatan dan kawalan kawasan.
Selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.41 malam.
JBPM Sabah menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran, khususnya melibatkan pendawaian elektrik dan penggunaan peralatan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.







