Read Time:1 Minute, 29 Second
KUALA LUMPUR : Sokongan padu penyokong Sabah disifatkan sebagai antara faktor dan penyumbang kepada kejayaan pasukan bola sepak wanita Sabah FA menjulang kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025.
Pengurus Sabah FA Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang setia hadir memberi sokongan walaupun bola sepak wanita masih dalam fasa membina populariti, namun tetap menunjukkan perkembangan positif dari tahun ke tahun.
“Kemenangan ataupun kejuaraan hari ini adalah untuk rakyat negeri Sabah. Terima kasih di atas sokongan kepada pasukan bola sepak wanita ini.
“Pasukan ataupun liga wanita ini perlu ada sokongan daripada masyarakat kita untuk terus lebih maju ke hadapan demi pasukan atau pemain-pemain bola sepak wanita kita di Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan terakhir bagi musim 2025 menentang Selangor FC di Stadium Cheras di sini pada Ahad.
Meskipun tewas tipis 1-0 kepada Selangor FC, Sabah FA berjaya dinobatkan sebagai juara LWN 2025 buat kali kedua selepas menjuarai liga itu pada 2023.
Arziz berkata, kehadiran hampir 5,000 penonton ke Stadium Likas pada perlawanan sebelum ini membuktikan minat masyarakat terhadap bola sepak wanita semakin meningkat dan berada pada landasan yang betul.
Katanya, sokongan berterusan penyokong bukan sahaja meningkatkan motivasi pemain, malah membantu membina keyakinan pasukan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk kejohanan antarabangsa.
“Momentum sokongan ini amat penting untuk kita kekalkan. Apabila pasukan dan penyokong berjalan seiring, semangat juang untuk menjadi juara akan sentiasa ada,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat Sabah agar terus memberi sokongan kepada pembangunan bola sepak wanita tempatan, sekali gus membantu memperkukuh LWN sebagai platform terbaik melahirkan pemain berkualiti untuk negeri dan negara.
Kejayaan Sabah FA menjuarai LWN 2025, katanya, menjadi bukti bahawa sokongan rakyat mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan dan kemajuan sukan bola sepak wanita di Malaysia. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FA






