Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah perkukuh pembangunan sukan secara holistik

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneruskan usaha memperkasa negeri ini sebagai negeri sukan secara holistik merangkumi pembangunan sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya (OKU) serta sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Menteri Pembangunan Belia,Kemajuan Sukan Dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu selari dengan Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama pembangunan negeri.

Katanya, melalui pendekatan menyeluruh, pembangunan sukan tidak hanya tertumpu kepada pencapaian atlet elit, malah turut memberi fokus kepada penglibatan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

“Selaras dengan agenda SMJ 2.0, pihak Kementerian akan memfokuskan kepada usaha pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi.

”Penekanan akan diberikan kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta semangat kesukarelawanan agar golongan belia bukan sekadar penerima peluang, tetapi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena tahun baharu 2026 di sini pada Isnin.

Nizam berkata, Kementerian juga akan mempergiat pemerkasaan industri ekonomi kreatif melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan.

Katanya, ia termasuklah dalam sektor kreatif dan digital, agar menjadi antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing untuk Sabah.

”Pada masa yang sama, Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perjuangan ini dilaksanakan secara berhemah dan berprinsip, demi memastikan hak Sabah terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

”Hubungan yang baik dan akrab antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah SMJ dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Sabah serta usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan seimbang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama padu kepada Kerajaan Negeri.

Katanya, kejayaan membina Sabah yang lebih maju dan berjaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha bersama antara kepimpinan dan rakyat. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE