Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

40 pendidik sertai pertandingan memanah tradisional dan moden di Beaufort

Read Time:1 Minute, 2 Second

BEAUFORT: Seramai hampir 40 orang warga pendidik dari pelbagai daerah di seluruh Sabah menyertai Pertandingan Memanah Tradisional dan Moden Tertutup Kakitangan Pendidikan Negeri Sabah 2025.

Pertandingan yang berlangsung di Kolej Vokasional Beaufort, disini pada Sabtu itu berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai daerah antaranya Sipitang, Ranau, Tawau dan beberapa kawasan lain.

Program itu juga menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan warga pendidik dalam aktiviti sukan yang sihat serta berunsur warisan.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, penyertaan yang menggalakkan membuktikan minat yang tinggi dalam kalangan pendidik terhadap sukan memanah, sama ada tradisional mahupun moden.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, penganjuran pertandingan seumpama ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengasah kemahiran, malah berperanan meningkatkan kecergasan minda, tahap fokus dan disiplin diri.

“Selain menyemai semangat kesukanan, program ini juga menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pendidik dari pelbagai daerah,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan itu.

Beliau turut berharap agar penganjuran sukan memanah dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi menarik minat masyarakat khususnya golongan belia, di samping memelihara nilai warisan yang terkandung dalam sukan tersebut.

Pertandingan itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Memanah Tradisional Panglima Beaufort dan Kolej Vokasional Beaufort, serta dijangka berakhir dengan jayanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE