Read Time:1 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU: Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini menarik perhatian apabila Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin, hadir bersama barisan kepimpinan utama gabungan itu.
Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu merupakan yang pertama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta selepas STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) secara rasmi meninggalkan GRS baru-baru ini.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Rina Jainal; serta Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.
Kehadiran Ellron menjadi tumpuan apabila beliau mengumumkan bahawa beliau bersama empat lagi wakil rakyat STAR akan terus kekal menyokong GRS selain menzahirkan komitmen terhadap kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Langkah tersebut dilihat sebagai satu isyarat positif terhadap perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS menjelang pilihan raya negeri akan datang. – SABAH MEDIA