Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah MyWI 2024: Peranan Wanita Dihargai, Agenda Pemerkasaan Terus Diperkukuh

Read Time:2 Minute, 58 Second

KUALA LUMPUR,– Sumbangan wanita di Sabah terus mendapat pengiktirafan dengan peranan mereka diperkasa secara lebih terancang, selari dengan perkembangan demografi, penyertaan ekonomi dan dasar kebajikan yang semakin diperkemas oleh kerajaan negeri.

Menurut penganalisis, Wan Azrain Adnan pada 24 Disember 2025, jumlah penduduk Sabah pada 2024 direkodkan seramai 3.742 juta orang, dengan wanita mewakili 1.787 juta atau 48 peratus, meningkat empat peratus berbanding 2023, manakala lelaki pula berjumlah 1.955 juta atau 52 peratus, juga naik empat peratus bagi tempoh yang sama. 

Pada masa sama, wanita di Sabah dicatat hidup lebih lama dengan jangkaan hayat meningkat kepada 77.1 tahun, iaitu kira-kira empat tahun lebih tinggi berbanding lelaki yang berada pada 72.9 tahun, sekali gus menuntut keperluan pengukuhan sosioekonomi golongan itu agar dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dalam tempoh usia yang lebih panjang.

Dari sudut penyertaan ekonomi, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita di Sabah masih pada 55.9 peratus, sedikit rendah berbanding purata nasional 56.2 peratus, walaupun kerajaan Persekutuan menyasarkan KPTB wanita meningkat kepada 60 peratus menjelang 2030, satu penanda aras yang turut wajar dicapai di Sabah.

Selain itu, pendapatan pekerja wanita di negeri itu juga kekal lebih rendah, dengan gaji dan upah purata bulanan dicatatkan RM3,118, berbanding RM3,311 bagi purata wanita di peringkat nasional, walaupun peningkatan 12 peratus atau RM336 direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2023, daripada RM2,782 kepada RM3,118.

Isu kemiskinan dalam kalangan wanita Sabah pula masih menunjukkan jurang besar berbanding nasional, walaupun trendnya mula menurun, direkodkan pada 22.8 peratus (2016), 16.2 peratus (2019) dan 17.1 peratus (2022), jauh lebih tinggi berbanding 5.8 peratus bagi wanita di peringkat kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Indeks Jurang Gender Malaysia 2025 (MGGI 2025) oleh DOSM menunjukkan skor MGGI Sabah merosot sedikit pada 2024, meletakkan negeri itu di kedudukan ketujuh nasional, dengan sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi mencatat penurunan ketara daripada 0.730 kepada 0.692, menyebabkan Sabah jatuh daripada tempat kelima kepada ke-12 nasional.

Bagaimanapun, Pencapaian Pendidikan kekal sebagai sub-indeks terbaik bagi wanita di Sabah, menjadi satu-satunya domain di mana skor wanita melepasi lelaki, meletakkan Sabah di kedudukan ketiga nasional, mencerminkan keupayaan wanita dalam bidang pembangunan modal insan.

Bagi memperkukuh fokus dasar, kerajaan negeri pada Disember 2025 menjenamakan semula Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), membolehkan agenda pemerkasaan wanita diselaras secara lebih tersusun.

Menerusi Belanjawan Sabah 2026, KWKKR menerima peruntukan keseluruhan RM173.56 juta, termasuk RM8.24 juta khusus bagi program pemerkasaan wanita, antaranya:

  • BizBloom untuk ibu tunggal dan wanita B40,
  • Keluarga Sejahtera Wanita Unggul,
  • Kepimpinan Wanita Berwibawa,
  • Latihan dan Kemahiran Usahawan,
  • Promosi dan Pembangunan Produk Usahawan.

Selain itu, kerajaan Sabah turut memperuntukkan:

  • RM12.12 juta melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi Program Kredit Komuniti wanita,
  • RM500 ribu untuk kerja awal pembinaan Asrama Wisma Wanita Fasa 2,
  • RM500 ribu bagi kajian awal pembinaan Asrama Wisma Wanita Fasa 2,
  • RM12.12 juta melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi meneruskan Program Kredit Komuniti wanita,
  • RM500 ribu bagi kerja awal Projek Pembinaan Asrama Wisma Wanita Fasa 2.

Untuk meringankan beban wanita sebagai tonggak keluarga, kerajaan negeri turut menyediakan:

  • RM4.37 juta bagi operasi rumah kebajikan seperti Rumah Warga Tua dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya,
  • RM670 ribu bagi penambahan Pusat Autisme Sabah (PAUS) di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort,
  • RM500 ribu melalui Program Kasih dan Kongsi untuk transformasi pendidikan awal kanak-kanak di pedalaman Sabah.

Wan Azrain menegaskan, agenda pemerkasaan wanita bukan sahaja mampu meningkatkan penyertaan ekonomi negeri, bahkan turut berupaya mengukuhkan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat Sabah secara keseluruhan.

LEAVE A RESPONSE