Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mencadangkan agar penukaran hak milik Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dihadkan bagi mengelakkan penyalahgunaan bantuan perumahan kerajaan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, hak milik rumah Rumah Mesra SMJ tidak dibenarkan dipindahkan kepada pihak lain kecuali sekiranya Ketua Isi Rumah (KIR) meninggal dunia dan pemilikan diserahkan kepada pewaris yang sah.
Katanya, cadangan itu dikemukakan susulan siasatan awal SPRM Sabah yang mendapati terdapat penerima bantuan rumah berkenaan tidak mendiami rumah yang dibina, sebaliknya menyewakan rumah berkenaan kepada individu lain.

Selain itu, pihaknya turut mengesyorkan agar hanya KIR layak memohon bantuan berkenaan serta permohonan tidak akan diluluskan sekiranya pemohon mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi.
Semua cadangan penambahbaikan tatakelola itu telah dibentangkan SPRM Sabah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) dan menerima maklum balas positif daripada Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Myrna Jimenez.
Myrna berkata, pihak kementerian akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan pelaksanaan program RMSMJ lebih berintegriti dan mencapai objektif membantu golongan benar-benar memerlukan.
Sementara itu, Fuad berkata, pihaknya turut mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan diwujudkan sebelum, semasa dan selepas pembinaan Rumah Mesra SMJ bagi memastikan pelaksanaan program perumahan itu lebih berkesan dan berintegriti.
Katanya, mekanisme pemantauan itu penting bagi memastikan pemilihan penerima, proses pembinaan serta penggunaan rumah selepas siap dibina menepati objektif asal program yang bertujuan membantu golongan benar-benar memerlukan.
“Selain itu, SPRM Sabah turut mencadangkan supaya satu borang permohonan khusus Rumah Mesra SMJ diwujudkan serta memasukkan klausa peringatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi meningkatkan kesedaran pemohon terhadap tanggungjawab dan implikasi undang-undang sekiranya memberikan maklumat palsu,” katanya. – SABAH MEDIA






