Read Time:2 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU: Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang disemak di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berisiko menjejaskan keadilan kesihatan dan kelestarian tenaga kerja di Sabah, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah.
Pengerusi MMA Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang, berkata pihaknya mengambil maklum semakan BIW tersebut dan sependapat dengan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Presiden MMA.
Beliau menegaskan bahawa walaupun pembaharuan saraan bertujuan memodenkan perkhidmatan awam, pengurangan BIW yang memberi kesan kepada pegawai perubatan baharu wajar dipertimbangkan semula dengan segera berikutan kesannya yang boleh dijangka terhadap keadilan penjagaan kesihatan dan kelestarian tenaga kerja di Sabah.
Menurut beliau, BIW bukan sekadar “elaun” dalam pengertian biasa. Ia merupakan instrumen dasar yang dirangka bagi mengimbangi jurang yang boleh dijangka, termasuk kos kewangan dan sosial untuk berkhidmat di kawasan yang dipengaruhi oleh faktor geografi, logistik dan kekangan sumber yang membentuk realiti kerja klinikal harian.
“Di Sabah, realiti ini tidak terhad kepada kawasan pedalaman semata-mata. Ia wujud merentasi keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negeri termasuk kekurangan tenaga kerja, beban perkhidmatan, keperluan perjalanan, kos sara hidup, serta peluang pembangunan profesional yang terhad berbanding pusat utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Brandon turut memberi peringatan bahawa penetapan BIW pada kadar tetap yang lebih rendah berisiko menyampaikan mesej yang tidak disengajakan tetapi memberi kesan negatif, khususnya kepada doktor muda.
“Apabila doktor merasakan bahawa sistem kurang mengiktiraf beban sebenar perkhidmatan di Malaysia Timur, kesannya jarang bersifat teori. Ia diterjemahkan kepada keengganan menerima penempatan, kadar pengekalan yang lemah, dan peningkatan kebergantungan kepada penyelesaian jangka pendek yang membebankan sistem dan mengganggu kesinambungan penjagaan pesakit,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa cabaran penjagaan kesihatan di Sabah tidak boleh diselesaikan dengan semangat pengorbanan semata-mata. Doktor yang berkhidmat di negeri ini sering berdepan kos peribadi, termasuk meninggalkan rangkaian sokongan keluarga, menanggung perbelanjaan perpindahan, menyesuaikan diri dengan infrastruktur terhad, serta mengekalkan beban kerja tinggi di persekitaran di mana permintaan boleh melebihi kapasiti.
“Sebarang dasar yang melemahkan insentif, walaupun tanpa niat, berisiko memburukkan kekurangan tenaga kerja yang pada asalnya ingin ditangani oleh BIW,” katanya.
Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa pihak berkuasa berkaitan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF), untuk meneliti semula struktur BIW yang disemak dan mengembalikan mekanisme yang adil serta progresif selaras dengan realiti perkhidmatan di Malaysia Timur, terutamanya Sabah.
“Ini bukan tuntutan layanan istimewa. Ia adalah seruan kepada reka bentuk dasar yang adil, yang mengiktiraf bahawa hasil kesihatan yang setara memerlukan beban yang tidak setara diakui dan ditangani secara bertanggungjawab.
“Melindungi insentif yang menyokong penempatan tenaga kerja kesihatan di Sabah akhirnya bermakna melindungi kesihatan rakyat Sabah,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini, elaun BIW ditetapkan berdasarkan peratusan gaji pegawai, iaitu 12.5 peratus bagi mereka yang memperoleh gaji RM4,839.66 sebulan ke atas.
Namun di bawah SSPA, penjawat awam baharu dari kumpulan pengurusan dan profesional Gred 9 hingga 15 yang dilantik mulai 1 Disember 2024 hanya akan menerima kadar tetap RM360 sebulan dalam elaun BIW untuk penempatan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.






