Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

JKR Sabah bakal perkenal kaedah tampalan baharu tanggani kerosakan jalan berulang


Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dijangka memperkenalkan kaedah tampalan lubang jalan raya baharu menggunakan bahan ‘cold-mix’ dan penggunaan Fiber Mixed Asphalt (FMA) bagi meningkatkan ketahanan jalan raya di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, berkata setakat ini standard dan spesifikasi kerja tampalan lubang masih menggunakan bahan ‘hot-mix’, namun kaedah tersebut mempunyai beberapa kekangan, antaranya keperluan suhu tinggi semasa pelaksanaan serta ketidak-sesuaiannya digunakan ketika musim hujan.

Sehubungan itu, JKR Sabah telah menjalankan ujian tampalan lubang menggunakan bahan ‘cold-mix’ yang didapati sesuai digunakan semasa musim hujan, selain boleh digunakan apabila bekalan bahan ‘hot-mix’ tidak diperoleh, terutamanya semasa musim perayaan apabila kilang pembekal tidak beroperasi atau apabila kerja tampalan sukar dilaksanakan menggunakan kaedah sedia ada.

“Kementerian saya akan mencadangkan penggunaan bahan ini dalam semakan perjanjian konsesi dalam masa terdekat,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Selain penggunaan bahan ‘cold-mix’, JKR Sabah juga telah dan sedang menjalankan kajian penggunaan bahan terkini seperti Fiber Mixed Asphalt (FMA) yang bertujuan memperkuatkan lapisan turapan supaya dapat bertahan lebih lama terhadap bebanan kenderaan yang semakin bertambah setiap tahun.

“Sekiranya kajian ini berjaya, penggunaan bahan berkenaan akan diperluaskan bagi kerja menurap semula dan pembaikan jalan raya utama di seluruh Sabah,” tambahnya.

Menurut Dr Joachim, kerja tampalan lubang merupakan sebahagian daripada kerja penyenggaraan rutin, dan bagi kerja penyenggaraan rutin, peruntukan disediakan mengikut panjang jalan yang disenggara.

Tambahnya, keberkesanan tampalan bergantung kepada tahap kerosakan jalan. Kerja tampalan lubang akan berkesan sekiranya kedalaman lubang serta kerosakan jalan hanya melibatkan lapisan turapan (premix) sahaja. Keadaan ini berlaku bagi jalan raya dalam kategori baik (tahap 2 dalam skala kerosakan jalan) dan kategori sederhana (tahap 3 dalam skala kerosakan jalan).

Bagaimanapun, bagi jalan raya yang dikategorikan sebagai teruk (tahap 4) dan amat teruk (tahap 5), kerja tampalan lubang didapati tidak berkesan dan tidak dapat bertahan lama kerana kerosakan yang berlaku telah melebihi lapisan turapan serta struktur jalan telah rosak.

“Walaupun diketahui kerja tampalan lubang bagi jalanraya dalam kategori 4 dan 5 ini tidak berkesan dan tidak akan bertahan lama, JKR Sabah tetap mengarahkan syarikat-syarikat konsesi dan kontraktor penyenggaraan jalan untuk melaksanakan kerja tampalan lubang.

“Usaha ini dilakukan bagi mengelakkan lubang yang berlaku dari menjadi lebih teruk dan dalam serta bertujuan mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalanraya,” katanya.

Terdahulu, Dr. Joachim berkata daripada jumlah peruntukan yang diperuntukkan kepada Kementeriannya, sebanyak RM 600.69 juta diperuntukkan kepada JKR Sabah dalam bajet tahun hadapan untuk menampung perbelanjaan program-program.

Program tersebut termasuklah program penyenggaraan jalan negeri (termasuk jalanraya berturap di bawah syarikat konsesi dan jalan gravel); program membina dan naiktaraf infrastruktur lain seperti jalanraya di kawasan luar bandar, pembaikan-pembaikan cerun dan jambatan; dan program pembaikan bangunan-bangunan kerajaan, sistem aliran trafik dan lampu jalan di sepanjang jalanraya negeri.

LEAVE A RESPONSE