Sabah Rangka Kajian Reka Bentuk Awal Sistem Kereta Api Menghubungkan Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar – Sabah News
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang merangka kajian kemungkinan dan reka bentuk awal pembinaan sistem kereta api yang menghubungkan Putatan ke Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar sebagai langkah strategik memperkukuh jaringan pengangkutan rel serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Beliau berkata, kajian dan reka bentuk awal itu disenaraikan sebagai sebahagian daripada lapan projek sambungan JKNS yang dijangka disiapkan pada tahun kedua pelaksanaan RMKe-13.
“Selain projek Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar, JKNS turut melaksanakan pembaikan cerun dan tebing di sepanjang jajaran Beaufort–Tenom, perolehan dua unit Diesel Multiple Unit (DMU) non-powered cars serta sebuah lokomotif bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kereta api,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-17, di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang RMKe-13 dari 2026 hingga 2030, JKNS merancang melaksanakan keseluruhan 47 projek merangkumi lapan projek sambungan dan 39 projek baharu, termasuk kajian kebolehlaksanaan sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya serta pelbagai projek penaiktarafan aset.
Dalam memastikan perkhidmatan kereta api di Sabah kekal relevan dan berdaya saing, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM18.19 juta kepada JKNS.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata sejumlah RM4.75 juta turut diperuntukkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagi memperkukuh infrastruktur pelabuhan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.






