Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Empat lelaki ditahan, halang tugas polis di Telipok susulan video viral berkaitan madrasah

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam kejadian yang berlaku di Telipok, di sini, kira-kira jam 6.45 petang semalam (15 Dis).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas menangkap dan membawa seorang suspek untuk membantu siasatan kes kecederaan serta penderaan kanak-kanak di salah sebuah madrasah yang dilaporkan sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas anggota di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an dan turut merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Polis juga akan memohon perintah reman terhadap semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain menjalankan ujian saringan air kencing serta merakam percakapan saksi-saksi kejadian.

Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak mengikut perasaan, sebaliknya bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” ujar beliau.

LEAVE A RESPONSE