Read Time:3 Minute, 30 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa kesan darah yang ditemukan pada beberapa helaian kertas bertulisan tangan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir adalah sepadan dengan profil Deoxyribonucleic Acid (DNA) milik remaja berusia 13 tahun itu.
Ahli Kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon, 52, berkata satu profil DNA perempuan telah diperoleh daripada kesan darah pada kertas “WK15(9)(a)”, “Y8” [kawasan “Y8(ii)”, “Y8(iii)”, “Y8(iv)”, “Y8(v)”, “Y8(vi)” dan “Y8(vii)”] dan “Y1” [kawasan “Y1(i)” dan “Y1(ii)”] serta kesan DNA surih pada buku “WK13” yang berpadanan antara satu sama lain dan berpadanan dengan profil DNA yang didapati daripada spesimen tulang “WK37”
berlabel “Zara Qairina Binti Mahathir”.
“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti berasal daripada individu yang sama,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara, hari ini.
Nor Aidora turut menjelaskan bahawa kertas “Y1” dan “Y8” saling melengkapi (complementary fit) antara satu sama lain.
Menurutnya, beliau telah memeriksa beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanda “Y8” dan mendapati di dalamnya sekeping kertas yang terdapat beberapa kesan menunjukkan kehadiran darah. Tujuh kawasan telah di ambil dan ditandakan sebagai “Y8(i)”, “Y8(ii)”, “Y8(iii)”, “Y8(iv)”, “Y8(v)”, “Y8(vi)” dan “Y8(vii)”.
“Selanjutnya, saya memperakui bahawa pada jam 2.15 petang pada 20 Ogos lalu dengan kehadiran Puan Nurul Atiqah Mohd Noh, Pegawai Sains di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, saya telah memeriksa kertas bertanda “Y1” dan mendapati kesan menunjukkan kehadiran darah dijumpai pada kertas “Y1”. Dua kawasan telah di ambil dan ditandakan sebagai “Y1(i)” dan “Y1(ii)”,” katanya.
Terdahulu, Nor Aidora dalam berkata beliau menerima 37 barang kes (eksibit) daripada seorang Inspektor pada 11 Ogos 2025 sekitar 7.05 malam, termasuk pakaian, barangan peribadi, buku, helaian kertas dan beberapa spesimen seperti tulang, kuku dan putik kapas dengan kesan darah.
Beliau kemudian menerima satu lagi beg barang kes bertanda “Y8” daripada seorang lagi Inspektor pada 20 Ogos lebih kurang pukul 8.28 pagi.
Nor Aidora berkata semasa menerima kesemua ekshibit tersebut, ekshibit dan meterai adalah berada di dalam keadaan sempurna dan masih ‘intact’.
“Sepanjang proses analisa dijalankan, ekshibit tidak pernah ditinggalkan tanpa kawalan saya. Saya dapat memastikan bahawa ekshibit tidak diusik (tampered) kerana semasa menerima kesemuanya bermeterai dan saya yang membuka ekshibit tersebut dan selepas menganalisanya saya telah memeriksa semula ekshibit dan memasukkannya ke dalam sampul asal dan memeterainya semula,” katanya.
Dalam kenyataan saksinya, Nor Aidora menjelaskan bahawa DNA adalah bahan yang ditemui di dalam hampir semua sel badan dan ia adalah unik bagi setiap orang kecuali kembar seiras.
“Ia mengandungi maklumat genetik dan diwarisi dari kedua ibu bapa. Terdapat kawasan-kawasan pada DNA yang mempunyai banyak variasi di antara manusia iaitu, kawasan tersebut mengandungi segmen DNA yang sama berulang-ulang beberapa kali. Setiap orang mempunyai bilangan ulangan yang berbeza. Pemprofilan DNA (DNA Profiling) mengukur bilangan ulangan yang dimiliki oleh seseorang pada kawasan-kawasan tersebut. Dengan menguji 21 kawasan (lokus genetik) pada seseorang, kita boleh memperolehi satu profil DNA. Proses bagi mendapatkan sesuatu profil DNA dipanggil DNA Profiling.
“Profil DNA setiap individu adalah unik dan berbeza dengan individu yang lain walaupun adik beradik. Bagaimanapun dalam kes kembar seiras, profil DNA nya adalah sama,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa Makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya dilengkapi peralatan bertaraf antarabangsa seperti Real Time PCR (Polymerase Chain Reaction), Thermal Cycler dan Genetic Analyzer, manakala prosedur yang digunakan dalam menjalankan ujian analisis DNA merupakan prosedur yang diterima pakai oleh para saintis antarabangsa.
“Dalam bidang tugas, saya biasa menjalankan analisis DNA ke atas bahan bukti biologi bagi kes-kes forensik seperti pembunuhan, rogol, paterniti, pergaduhan, dadah, culik, rompak, pecah rumah dan sebagainya. Saya juga telah banyak kali memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Sesyen, Majistret dan Syariah. Sepanjang pengetahuan saya, keterangan saya diterima oleh Mahkamah,” katanya.
Pada prosiding 8 September lalu, pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah telah mendedahkan bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda “Y1” hingga “Y15” serta “W1” dan “W2”, yang dianalisisnya, adalah konsisten dengan spesimen tulisan tangan milik Zara.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/09/08/inkues-kematian-zara-ada-dua-gaya-tulisan-berbeza-saksi/