Read Time:3 Minute, 19 Second
oleh Wan Azrain Adnan
KOTA KINABALU, 15 Kemerosotan sentimen optimis dalam kalangan komuniti perniagaan di Sabah yang direkodkan pada Suku Keempat 2025 dijangka dapat dipulihkan menerusi pelaksanaan Belanjawan Sabah 2026 yang memberi penekanan kepada pemacuan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat
Laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Keempat 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Petunjuk Keyakinan perniagaan di Sabah merosot dengan ketara daripada +8.2 peratus pada Suku Ketiga kepada +0.9 peratus pada Suku Keempat.
Secara umum, laporan DOSM ini mencerminkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tempoh enam bulan, iaitu dari Oktober 2025 hingga Mac 2026

kemerosotan sentimen di Sabah berlaku ketika Petunjuk Keyakinan nasional mencatat peningkatan memberangsangkan daripada +0.1 peratus kepada +6.2 peratus, iaitu paras tertinggi bagi tahun 2025 dan tertinggi sejak 2023.
Sepanjang tahun 2025, Sabah merekodkan pergerakan Petunjuk Keyakinan yang turun naik, iaitu +7.5 peratus, -0.3 peratus, +8.2 peratus dan +0.9 peratus, mencerminkan perubahan sentimen komuniti perniagaan yang berdepan pelbagai cabaran semasa.
Dalam konteks ini, Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan minggu lalu berpotensi melonjakkan kembali keyakinan komuniti perniagaan

Bagi tahun 2026, Kerajaan Sabah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Dalam pada itu, ekonomi Sabah dijangka berkembang pada kadar sederhana 2 peratus pada tahun 2026, berbanding pertumbuhan perlahan 1.1 peratus pada 2024, dipacu terutamanya oleh sektor Perkhidmatan.
Ketika ini, sektor Perkhidmatan menyumbang 52.4 peratus kepada ekonomi Sabah, diikuti Perlombongan dan Pengkuarian (22 peratus), Pertanian (14.5 peratus), Pembuatan (7.2 peratus) dan Pembinaan (3.5 peratus).
Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, sektor Pembuatan menerima pelaburan tertinggi berjumlah RM7.472 bilion, diikuti sektor Perkhidmatan (RM3.139 bilion) dan Sektor Utama meliputi Perindustrian, Pelancongan serta Pertanian (RM757 juta).
“Secara keseluruhan, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, berbanding RM6.458 bilion bagi keseluruhan tahun 2024,”
Selari dengan tonggak utama Belanjawan Sabah 2026 untuk mempercepatkan pembangunan sektor produktif dan menarik pelaburan, kerajaan negeri memperuntukkan RM249.19 juta bagi inisiatif berkaitan.
| Jumlah Peruntukan | Inisiatif |
| RM 5 juta | Program Keusahawanan Negeri: meningkatkan daya saing usahawan IKS Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa |
| RM 16.86 juta | Menyertai ekspo di dalam dan luar negara bagi mengembangkan pasaran produk-produk usahawan IKS Sabah ke luar negeri |
| RM 18.55 juta | Pelbagai program pembangunan usahawan tempatan Sabah |
| RM 15 juta | Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti usahawan IKS |
Antara tumpuan utama ialah pembangunan usahawan, dengan peruntukan RM5 juta bagi Program Keusahawanan Negeri, RM16.86 juta untuk penyertaan ekspo dalam dan luar negara, RM18.55 juta bagi pelbagai program pembangunan usahawan tempatan serta RM15 juta untuk Program Bantuan SME-UP.
Kerajaan negeri turut menyediakan RM43.53 juta bagi pembangunan infrastruktur dan utiliti di taman-taman perindustrian utama termasuk Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).
Bagi merancakkan sektor pelancongan, sebanyak RM174.45 juta diperuntukkan sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan perancangan Tahun Melawat Sabah 2027, termasuk penambahbaikan fasiliti pelancongan serta pembinaan dan naik taraf muzium.
Sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sabah mensasarkan ketibaan 3.7 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM9.1 bilion.
Pelaksanaan inisiatif ini turut disokong oleh penambahbaikan dua lapangan terbang utama di Sabah, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang dijangka siap pada 2027 dan Lapangan Terbang Tawau pada 2028.
Ketika ini, Sabah menerima 447 penerbangan domestik dan 117 penerbangan antarabangsa setiap minggu.
Selain itu, Belanjawan Sabah 2026 memperuntukkan RM1.656 bilion kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bagi menangani isu infrastruktur, air, elektrik serta jaringan jalan raya.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pula, Jabatan Air Sabah disediakan siling peruntukan RM1.77 bilion melibatkan 77 projek, manakala Jabatan Kerja Raya menerima siling RM2.67 bilion bagi 173 projek pembangunan.
Usaha ini turut disokong oleh projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar yang akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo kepada 1.25 juta TEU.
“Kesemua inisiatif ini dijangka terus mendokong perdagangan Sabah yang kekal melepasi RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024






