Read Time:2 Minute, 35 Second
KOTA KINABALU: Seorang pesara guru besar yang membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu didenda RM10, 000 atau dua bulan penjara, oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Kamul Kamarudin, 61, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah.
Kamul mengaku menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Amung Kamaruddin’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam iaitu: “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal…bila dia kerja…upah bah…pemandu langgar lari”.
Hantaran itu dibuat dengan niat untuk mengganggu orang lain yang mana penghantaran komunikasi tersebut telah dibaca oleh Dr Jessie Hiu pada 5 September, jam lebih kurang 4.15 petang, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta tersebut. Peruntukan itu menetapkan hukuman denda sehingga RM500, 000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Menurut fakta kes, Dr Jessie iaitu pengadu dalam kes ini merupakan seorang Pakar Patologi Forensik di Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth. Pengadu telah dipanggil sebagai saksi pertama dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir dan telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 3 dan 4 September 2025.
Pada 5 September 2025, semasa Dr. William Gotulis, iaitu Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, sedang melayari laman media sosial Facebook di rumahnya telah terbaca sebuah komen yang ditulis oleh akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ di ruangan komen sebuah video yang memaparkan gambar pengadu.
Dr. William Gotulis telah membuat tangkap layar komen tersebut dan menghantar tangkap layar tersebut kepada pengadu kerana berpendapat bahawa komen tersebut adalah berbentuk ancaman terhadap keselamatan pengadu.
Pengadu telah membaca pesanan Whatsapp daripada Dr. William pada hari yang sama, jam lebih kurang 4.15 petang semasa berada di rumahnya.
Pengadu merasakan bahawa komen tersebut adalah jelas ditujukan kepadanya kerana ianya ditulis di ruangan komen video yang memaparkan wajah pengadu. Setelah membaca komen tersebut, pengadu merasakan bahawa keselamatannya terancam sehingga menyebabkan pergerakan hariannya terganggu. Pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Tertuduh ditangkap pada 7 September 2025 dan turut dirampas daripada tertuduh adalah sebuah telefon bimbit jenama Redmi Note Pro 11 berwarna putih. Hasil semakan ke atas telefon bimbit tersebut telah menemui aplikasi Facebook yang berlog masuk akaun bernama ‘Amung Kamaruddin’.
Hasil semakan telco mengesahkan nombor tersebut adalah berdaftar atas nama tertuduh manakala semakan pada kad pengenalan tertuduh mengesahkan tarikh lahir tertuduh adalah 23 Februari 1964. Akaun tersebut juga memaparkan gambar-gambar tertuduh.
Pada 11 September lalu, Kamul mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, namun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas mendengar peruntukan hukuman di bawah Seksyen berkenaan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin tempatan sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles dan Eugenie Meredith Gilbert. Teruduh diwakili oleh peguam Rizwandean M Borhan dan Elhanan James.
LINK BERITA TERDAHULU:
(https://sabahmedia.com/2025/09/11/pesara-guru-besar-mengaku-tidak-bersalah-buat-hantaran-fb-berbaur-ancaman-terhadap-saksi-inkues-zara-qairina/)






