Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menzahirkan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke17 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan negeri sebelum ini memilih untuk fokus menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat berbanding melayan spekulasi politik yang sering dimainkan pihak lawan.
“Hari ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sah dibubar. Dulu kita biarkan saja orang berlari awal, maki hamun dan cipta spekulasi, sementara kita fokus buat kerja khidmat kerajaan,” katanya.
Menurutnya, pembubaran DUN menandakan bermulanya gelanggang politik yang sah untuk semua pihak bertanding dan membentangkan rekod khidmat masing-masing.
“Kini gelanggang dibuka secara rasmi. Kita juga perlu berlari, beralih kepada mood dan mode pilihan raya.
“Kalau dulu kita diasak menjawab, tiba masa kita minta mereka pula menjawab. Mereka juga pernah berkuasa di negeri dan di persekutuan, malah kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kini cukup bijak menilai mana hujah yang berasaskan fakta dan mana sekadar retorik politik semata-mata.
“Akhirnya, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai. Kita yakin rakyat amat bijak menimbang antara jawapan yang berpijak pada realiti dan lontaran retorik penuh emosi,” katanya.
Sementara itu, Armizan turut menyeru seluruh jentera GRS agar bersatu dan berjuang bersama memastikan kestabilan serta pembangunan Sabah terus dipertahankan.
“Ayuh bangkit Jentera GRS, kita jaga Sabah. Ayuh Sabahan bangkit, rumah kita, kita jaga,” katanya.
Mengakui bahawa GRS bukanlah kerajaan yang sempurna, beliau menegaskan bahawa gabungan itu tetap komited memperbaiki kelemahan dan meneruskan usaha membangunkan negeri ini secara berterusan.
“GRS tidak sempurna, banyak perlu ditambah baik. Kita tidak boleh selesaikan semua isu serta-merta, namun kita buktikan bahawa hasrat membina Sabah bukan janji kosong. We walk the talk — it’s a work in progress,” katanya. – SABAH MEDIA