Read Time:1 Minute, 24 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Projek pembangunan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Sabah akan dipantau secara bulanan bermula Januari depan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa kelewatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama pegawai pembangunan Persekutuan dan negeri.
“Kita akan pantau setiap bulan. Kalau projek sudah ada, kita hendak tahu mengapa lambat dan apa yang perlu disegerakan.
“Tidak boleh lagi ada penangguhan yang tidak munasabah,” katanya ketika berucap ketika menghadiri Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvonsyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.
Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan segala peruntukan yang telah disalurkan benar-benar diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat akar umbi.
Katanya, sebelum ini kelewatan sering berlaku walaupun peruntukan telah diluluskan, sekali gus menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kecekapan kerajaan.
“Rakyat tidak mahu dengar soal prosedur semata-mata. Mereka mahu hasil. Sebab itu kita buat pemantauan berkala supaya semua pegawai bertanggungjawab terhadap jadual dan prestasi projek,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa projek-projek bagi tahun hadapan akan mula dilaksanakan lebih awal bermula Januari, berbanding sebelum ini yang kebiasaannya bermula pada April.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah amat penting bagi memastikan segala urusan kelulusan, tapak projek dan pelaksanaan dapat dipercepatkan.
Menurutnya, langkah pemantauan bulanan itu dijangka meningkatkan tahap akauntabiliti serta mempercepatkan penyelesaian projek-projek asas termasuk bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan awam di Sabah. – SABAH MEDIA






