Read Time:1 Minute, 21 Second
KIULU : Golongan belia dan wanita khususnya di daerah kecil Kiulu akan diberi ruang lebih besar untuk terlibat sama dalam proses membuat keputusan serta mengurus program komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, langkah itu penting bagi memastikan pendekatan kepimpinan di Kiulu terus selari dengan keperluan semasa, khususnya dalam konteks pembangunan luar bandar yang memerlukan idea segar dan tenaga kerja baharu.
Menurutnya, penyertaan generasi muda dan wanita adalah keperluan strategik untuk memperkukuh tadbir urus serta memastikan program yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira keperluan masyarakat.
“Belia dan wanita kini mempunyai kapasiti, kemahiran, dan perspektif yang diperlukan untuk mentadbir komuniti.
“Sudah tiba masanya mereka memainkan peranan lebih besar dalam merangka serta melaksanakan agenda pembangunan Kiulu,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan dart di Dewan Terbuka St Philip Neri di Pekan Nabalu, di sini pada Sabtu.
Joniston berkata pihaknya sedang menilai semula struktur organisasi di peringkat kampung bagi membuka lebih banyak peluang kepimpinan kepada golongan tersebut, termasuk pendedahan kepada proses penggubalan dasar, perancangan program, dan penyelarasan projek rakyat.
“Langkah itu dijangka meningkatkan keberkesanan pentadbiran akar umbi, khususnya dalam mengurus isu-isu kritikal serta memudahkan komuniti mengurus hal-hal pentadbiran dan penyelarasan program pembangunan di peringkat kampung,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perubahan ini bertujuan memastikan setiap keputusan yang dibuat lebih berpandukan maklum balas masyarakat dan tidak hanya bersifat penyelesaian jangka pendek.
Joniston turut menekankan bahawa latihan, pendedahan dasar, serta peluang memegang portfolio kerja akan menjadi fokus utama bagi mempersiapkan generasi pelapis untuk mentadbir Kiulu dengan lebih berkesan dan konsisten.
“Kita mahu melihat barisan kepimpinan yang memahami perubahan zaman dan berani meneruskan agenda pembangunan Kiulu tanpa terputus di tengah jalan,” katanya.






