LABUAN: Tiga individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas sebuah bot penumpang terbakar di perairan Tanjung Batu kira-kira jam 3 petang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati bot penambang itu bertolak dari Terminal Menumbok pada jam 2.45 petang membawa 36 penumpang termasuk dua kanak-kanak serta tiga kru menuju ke Labuan.
“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain bot. Semua penumpang dan kru sempat menyelamatkan diri selepas bot menghampiri kawasan persisiran pantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 4.15 petang.
Beliau berkata, mangsa yang cedera melibatkan seorang kru lelaki berusia 29 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia satu dan dua tahun.
“Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Labuan. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak JBPM,” katanya.






