Read Time:2 Minute, 7 Second
KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bersama Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS) Sabah Chapter akan menganjurkan Forum Acara Perniagaan Antarabangsa ke-3, BE in Sabah 2026, pada 4 hingga 5 Februari 2026 di SICC, sekali gus membawa tumpuan baharu terhadap strategi, inovasi dan kepimpinan acara perniagaan di peringkat global.
Forum tersebut diperkenalkan kepada pemain industri dan media menerusi sesi Industry Connect & Media Preview yang diadakan pada 3 Disember 2025, sebagai pratonton rasmi menjelang penganjuran utamanya tahun depan.
Mengangkat tema “Global Collaboration Through Business Events”, BE in Sabah 2026 disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Sabah Convention Bureau, Sabah Tourism Board dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Forum itu diposisikan sebagai platform strategik Asia Pasifik yang meneliti peranan acara perniagaan dalam memacu fasilitasi perdagangan, aliran pelaburan, keyakinan pasaran serta kerjasama rentas sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC merangkap Pengerusi Penganjur BE in Sabah 2026, Datuk Dr Rosmawati Lasuki, berkata forum tersebut dibangunkan sebagai ruang dialog dan kerjasama serantau dalam komuniti acara perniagaan global.
“Dalam era ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, acara perniagaan memainkan peranan semakin strategik dalam memudahkan perdagangan, pelaburan dan perkongsian ilmu. Forum ini menghimpunkan pemimpin antarabangsa dan Asia Pasifik untuk berkongsi pandangan, mengukuhkan hubungan serta menyokong ketahanan industri jangka panjang,” katanya.
BE in Sabah 2026 bakal menampilkan barisan penceramah antarabangsa berprofil tinggi daripada institusi utama dalam ekosistem acara perniagaan, termasuk International Congress and Convention Association (ICCA), International Association of Convention Centres (AIPC), Professional Convention Management Association (PCMA), firma perunding acara global, pusat konvensyen utama, biro konvensyen serta organisasi media dan strategi industri.
Program dua hari itu merangkumi sesi ucaptama dan perbincangan plenari yang memberi tumpuan kepada isu yang membentuk landskap acara perniagaan global, termasuk pertumbuhan dan daya saing industri, kerjasama rentas sempadan, kecerdasan buatan dan keputusan berasaskan data, kelestarian dan tanggungjawab iklim, kepimpinan dalam pasaran tidak menentu, pembangunan tenaga kerja masa depan serta peranan acara perniagaan dalam menyokong perdagangan dan pelaburan jangka panjang.
Forum tersebut menyasarkan penyertaan penganjur acara perniagaan, pembekal industri, pengurus pusat konvensyen dan pameran, biro konvensyen, pemasar destinasi, agensi kerajaan, pembuat dasar, persatuan perdagangan, pemimpin korporat, pelabur, media industri serta bakat industri masa depan.
Sesi pratonton pada 3 Disember itu turut mengukuhkan kedudukan BE in Sabah sebagai platform pertemuan Asia Pasifik, dengan SICC memanfaatkan posisi strategik Sabah dalam rangkaian East ASEAN dan Asia Pasifik serta mengekalkan skop antarabangsa.
Forum edisi ketiga itu dijangka menghimpunkan sekitar 800 delegasi serantau dan antarabangsa. Pendaftaran Early Bird (www.beinsabah.com.my) dibuka sehingga 31 Disember 2025 dan forum ini layak dituntut di bawah HRD Corp.






