KOTA KINABALU : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sabah, dengan hujan lebat dijangka berlaku selama dua hari bermula esok sehingga Sabtu.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan dijangka terjejas ialah Sandakan melibatkan Telupid; Kinabatangan dan Beluran serta Kudat
Selain Sabah, cuaca sama turut dilaporkan di beberapa buah negeri di Semenanjung dan Sarawak bermula esok hingga Isnin.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan banjir kilat, angin kencang dan air pasang.
Di Semenanjung, cuaca itu dijangka melanda beberapa negeri di Pantai Timur meliputi Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh); Terengganu (Seluruh negeri) dan Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin).
Jangkaan hujan ini dijangka berlarutan sehingga Ahad, 7 Disember 2025, selari dengan monsun timur laut yang aktif.
Di Johor cuaca itu dijangka berlaku mulai 7 hingga 8 Disember melibatkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Manakala di Sarawak, dalam tempoh sama juga akan berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu. – SABAH MEDIA






