Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan campuran pelbagai parti demi stabiliti politik Sabah — Masidi

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pembentukan Kabinet Sabah yang merangkumi pemimpin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),  adalah keputusan yang dibuat demi kestabilan politik negeri, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata keutamaan kerajaan perpaduan ketika ini ialah memastikan pentadbiran yang stabil agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Tanpa stabiliti politik, kita akan sentiasa dibelenggu percaturan kuasa. Kita mahu fokus kepada kerja, membangun negeri dan membantu rakyat,” katanya selepas memulakan tugas di Kementerian Kewangan pada Rabu.

Masidi berkata Kabinet hanya mempunyai 10 jawatan menteri selain Ketua Menteri, justeru tidak semua yang layak dapat dilantik.

“Itu soal rezeki. Yang penting ialah semua yang diberi peranan sama ada menteri, pembantu menteri atau ADUN kerajaan bekerja keras untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai BN dan parti-parti lain dalam kerajaan, Masidi menegaskan kerjasama itu bukan soal memilih parti tertentu, tetapi kerana Sabah memerlukan pentadbiran yang mantap.

“Kita perlu melihat gambaran besar. Gambaran besar itu ialah Sabah. Keputusan yang sukar kadang-kadang perlu dibuat untuk memastikan kerajaan stabil,” katanya.

Masidi juga mengingatkan semua pemimpin agar tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Apa yang kita buat akan dipertanggungjawabkan. Keutamaan kita ialah menunaikan amanah rakyat dan memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.

LEAVE A RESPONSE