Read Time:1 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Mohamed Razali Razi menyifatkan amanah yang diberi sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus membela suara rakyat.
Beliau merakamkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan bahawa pelantikan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya satu peringatan bahawa perjuangan masih panjang.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas rezeki dan amanah yang tidak pernah saya bayangkan, hari ini (semalam)’saya diberi kepercayaan untuk berkhidmat sebagai ADUN Dilantik.
“Pelantikan ini bukan satu penghormatan kepada saya semata-mata, tetapi satu peringatan bahawa perjuangan ini masih panjang.
“Politik bukan pentas untuk mencari kemewahan, tetapi ruang untuk membawa suara rakyat yang kadang-kadang tenggelam di tengah hiruk pikuk percaturan kuasa. Amanah ini adalah satu tanggungjawab yang saya pikul dengan hati yang rendah diri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran yang dimuat naik di Facebooknya di sini pada Selasa.
Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, setiap langkah yang di ambil sejak hari pertama turun ke lapangan, berjumpa warga kampung, mendengar keluhan, berkongsi harapan, semuanya adalah perjalanan yang telah ditentukan Allah S.W.T.
“Bukan kerana saya hebat, tetapi kerana Allah mahu membuka pintu rezeki supaya saya dapat membantu lebih ramai orang dan seperti yang saya selalu sebut, segala usaha ini adalah untuk Darau.
“Untuk keluarga-keluarga yang saya temui di jalan kampung, untuk anak-anak muda yang membawa impian besar, untuk ibu bapa yang menaruh harapan agar masa depan anak mereka lebih terjamin. Darau bukan hanya kawasan, ia adalah jiwa perjuangan saya,” katanya. – SABAH MEDIA






