Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Majlis Angkat Sumpah seramai 17 Pembantu Menteri Negeri Sabah dan penyerahan watikah pelantikan kepada 6 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Selasa.
Majlis penuh istiadat itu menyaksikan pelantikan Pembantu-Pembantu Menteri baharu merangkumi wakil dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) dan ADUN Bebas.
Mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemaah Kabinet Negeri Sabah.
Antara yang mengangkat sumpah jawatan ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Pitas, Dato’ Sri Ruddy Awah, ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; ADUN Labuk, Datuk Samad Jamri; ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding, ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum.
Turut disenaraikan ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong; ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; ADUN Kukusan, Datuk Rina Zainal; ADUN Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap; Datuk Ceasar Mandela Malakun (ADUN Dilantik); ADUN Tanjong Batu, Dr.Andi MD.Samsureezal; ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron dan ADUN Bingkor, Mohd. Ishak Ayub.
Majlis turut menyaksikan pelantikan enam ADUN Dilantik iaitu Datuk Mohamed Razali Mohamad Razi; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Ir. Chin Shu Ying; Datuk Ceasar Mandela Malakun; bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin, Puan Grace Lee Li Mei.






