Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemuda Gagasan Rakyat sokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) menegaskan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam satu kenyataan hari ini, pergerakan itu berkata, sokongan ini adalah manifestasi keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang terbukti matang, berwibawa, berwawasan, serta berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, dan kelangsungan pembangunan negeri.

“Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda disemua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa pimpinan Pemuda telah dan akan terus berperanan sebagai wadah utama menyuarakan aspirasi, harapan serta denyut nadi anak muda Sabah kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.

“Namun demikian, Pemuda juga menzahirkan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan pimpinan, demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat,” tambah kenyataan itu.

Pemuda Gagasan Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah pada Isnin.

“Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan kabinet yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas selain penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, pemuda Gagasan Rakyat juga mahu pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” menurut kenyataan itu lagi.

Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat yakin dan percaya bahawa tempoh lima tahun pentadbiran akan datang akan menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE